Sunday, September 2, 2012

HUKUM MEMANDANG LELAKI DAN PEREMPUAN

1-Memandang anggota yang bukan aurat dari anggota tubuh lelaki dan perempuan adalah boleh mengikut pandangan yang biasa serta pandangan tersebut mestilah aman daripada fitnah. Pandangan ini boleh berubah menjadi haram apabila kita memandangnya terus menerus (lama) sehingga melahirkan kenikmatan seksual. Firman Allah:

"katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya"

(Surah An-Nur ayat 30-31)

2-Diharamkan lelaki melihat aurat perempuan dan perempuan melihat aurat lelaki walaupun tidak disertai dengan nafsu seksual. Hukum larangan ini berubah menjadi boleh apabila terdapat keperluan yang mendesak seperti untuk berubat, pembedahan dan sebagainya. Aurat lelaki adalah daripada pusat hingga lutut dan aurat perempuan seluruh tubuh kecuali muka dan tangan.

2-Islam memaafkan pandangan yang dilakukan secara tidak sengaja sehingga terlihat sesuatu yang tidak sepatutnya dilihat iaitu aurat lelaki dan perempuan. Dalilnya daripada Jarir Bin Abdillah: 'Saya bertanya kepada Rasulullah tentang pandangan yang tidak disengaja. Rasulullah bersabda, "Alihkan pandanganmu" (Hadith riwayat Muslim).

3-Memandang lawan jenis iaitu lelaki memandang perempuan atau perempuan memandang lelaki dengan nafsu seksual adalah diharamkan dalam Islam kerana pandangan mata akan turun ke hati seterusnya membuka pintu untuk melakukan zina.

4-Allah memerintahkan manusia untuk menundukkan pandangan. Itu bukanlah bermaksud 'menahan seluruh pandangan' tetapi yang dimaksudkan ialah 'menahan sebahagian pandangan' kerana tidak mungkin manusia dapat hidup dengan tidak memandang. Berbeza pula dengan menjaga kemaluan kerana perintah menjaga kemaluan adalah perintah keseluruhan dan tiada tolak ansur dalam perkara tersebut

(dipetik daripada Buku "Wanita dalam Fikih Al-Qaradawi)

No comments: