Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan bertauhid iaitu sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir dia berikrar dan mengucapkan dua kalimah syahadah maka dia berhak berada di sisi Allah dan masuk ke syurga-Nya.
Orang tersebut sudah dipastikan oleh Allah untuk ke syurga walaupun dia manusia yang terakhir (tidak bersama-sama golongan terawal ke syurga) kerana dia diazab terlebih dahulu di neraka disebabkan kemaksiatan dan dosa-dosa yang dikerjakan yang belum bertaubat dan belum diampuni. Dia tidak kekal di dalam neraka kerana di dalam hatinya masih ada sebutir iman.
DALIL
Dari Abu Dzar Radiallahuanhu menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Sesiapa mengucapkan, 'Laailaaha Illallaah kemudian meninggal, maka pasti masuk syurga".
Dari Anas Radiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Akan keluar dari neraka orang yang mengucapkan, 'Laailaaha Illallaah, walaupun hanya sebesar satu butir iman di hatinya"
Dari Abu Dzar pula, dia telah berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda, "Telah datang kepadaku malaikat jibril dan memberi khabar gembira kepadaku, bahawa sesiapa yang meninggal di antara umatmu dalam keadaan tanpa mempersekutukan Allah (mensyirikkan Allah) maka pasti akan masuk syurga, walaupun dia berbuat zina dan mencuri". Nabi Muhammad mengulanginya sebanyak dua kali.
Banyak hadith yang menunjukkan bahawa kalimah syahadah memberi hak untuk masuk syurga dan terlindung dari neraka bagi yang mengucapkan Laa illaaha Illallaah. Maksudnya ialah meskipun dia banyak melakukan dosa, dia akhirnya tetap dimasukkan ke dalam syurga. Dia diazab terlebih dahulu kerana perbuatan maksiatnya.
(Dipetik di dalam buku Kumpulan Fatwa Prof. Dr Yusuf Al-Qaradawi)
No comments:
Post a Comment