Sunday, September 2, 2012

BERSALAMAN LELAKI DAN PEREMPUAN

Dr Yusuf Al-Qaradhawi ditanya tentang hukum bersalaman dengan lelaki dan perempuan bukan mahram yang ada ikatan persaudaraan terutamanya sekiranya baru pulang dari luar negara, pulang mengerjakan haji, sembuh daripada penyakit dan sebagainya. Di sini saya hanya ingin menukilkan kesimpulan pandangan beliau yang dipetik dalam 'Kumpulan Fatwa Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi':

PERTAMA: Bersalaman antara lelaki dan perempuan hanya diperbolehkan apabila tidak disertai dengan syahwat (nafsu) serta mestilah aman daripada fitnah. Apabila dibimbangi berlaku fitnah atau disertai syahwat dan berlazat-lazat terhadap salah satu sama ada bagi pihak lelaki dan perempuan maka bersalaman pada ketika itu adalah HARAM. Jadi di sini terdapat dua syarat yang membolehkan bersalaman, 

Pertama : Tidak disertai Nafsu
Kedua   : Aman daripada fitnah

Sekiranya kedua-dua syarat di atas ini tidak dipatuhi, jadi hukum bersalam menjadi haram walaupun bersalaman dengan mahram sekalipun. Bahkan bersalaman dengan budak yang masih kecil juga menjadi haram.

KEDUA: Hendaklah tidak berlama-lama dalam berjabat tangan dan terbatas dengan keluarga yang mempunyai hubungan kekeluargaan yang erat sahaja serta tidak boleh diperluaskan kepada orang lain. Hal ini kerana untuk menutup pintu kerosakan, menjauhi  perkara yang meragukan dan agar lebih berhati-hati. Hal ini bersesuaian dengan petunjuk Rasulullah kerana tiada riwayat yang kuat menyebut bahawa Baginda pernah bersalaman dengan wanita lain (yang bukan kerabat atau tidak mempunyai hubungan yang erat).

Dan bagi para muslimin dan muslimah yang komited terhadap agamanya JANGANlah memulakan bersalaman tersebut tetapi apabila tangan dihulurkan kepadanya maka bolehlah dia bersalaman. 

Dr Yusuf Al-Qaradhawi juga menyebut: 

"Kami menetapkan hukum demikian agar dapat diamalkan ketika diperlukan agar mereka tidak menyangka bahawa telah mereka salah mengamalkan ajaran agamanya. Kita tidak perlu mencela orang yang berjabat tangan dengan berlainan jantina selama mana perbuatannya dapat dipertanggungjawabkan sesuai dengan ijtihad dalam hukum Islam. Wallahua'lam"

(Dipetik daripada kitab "Kumpulan Fatwa Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi")


No comments: