Adakah lelaki yang memegang kemaluannya membatalkan wuduk?
Perkara ini merupakan perkara khilaf di kalangan ulama. Jika disebut khilaf maka ada ulama yang mengatakan batal dan ada yang mengatakan tidak batal. Masing-masing ada hujah dan dalil dan mereka mendapat pahala apa yang mereka ijtihadkan.
Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitab Fikih Thaharah cenderung kepada pendapat yang mengatakan tidak batal wuduk bagi lelaki yang memegang kemaluannya. Saya akan menukilkan beberapa hujah beliau. Diharapkan para pembaca membacanya dengan sabar dan teliti:
1-Diriwayatkan oleh An-Nasa'i dari Thalq bin Ali dia berkata: Kami keluar berangkat membentuk rombongan menuju Rasulullah. Lalu kami membaiatnya dan kami solat bersamanya. Apabila selesai melakukan solat, ada seorang lelaki yang datang kepadanya seperti seorang badwi. Maka orang itu berkata, 'Wahai Rasulullah, apa pendapatmu tentang seorang lelaki yang menyentuh zakarnya ketika solat? Maka Rasulullah bersabda, 'Tidakkah ia bahagian dari tubuhmu?.
(Sahih Sunan An-nasa'i, Ibnu Majah, At-Tirmizi, Abu Daud)
Berdasarkan hadith ini mereka menyimpulkan bahawa menyentuh kemaluan depan tidak batal kerana ianya adalah sebahagian daripada tubuh manusia.
2-Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Busrah Binti Safwan bahawa Rasulullah bersabda, 'Barangsiapa yang memegang zakarnya hendaklah dia berwuduk'. Berkaitan hadith ini, Imam Bukhori berkata, "hadith Busrah adalah hadith PALING SAHIH DALAM BAB INI.
Berdasarkan kata-kata Imam Bukhori ini, maka Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi mengatakan ini tidak menunjukkan bahawa hadith itu sahih kerana yang DIMAKSUDKAN oleh Imam Bukhori ialah hadith yang PALING BAIK dalam bab ini walaupun tidak sampai darjat sahih.
Terdapat kisah di sebalik hadith ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh An-Nasa'i dari Urwah Bin Az-Zubair dia berkata, "saya masuk menemui Marwan Bin Al-Hakam. Lalu kami sebutkan perkara-perkara yang membatalkan wuduk. Maka Marwan berkata, 'Barangsiapa yang memegang zakarnya, dia wajib wuduk.'
Urwah berkata: saya tidak tahu (akan perkara itu)!
Marwan berkata: Saya diberitahu oleh Busrah Bin Safwan bahawa dia mendengar Rasulullah bersabda, "Jika salah seorang antara kalian memegang zakarnya , maka hendaklah dia berwuduk"
(Sahih An-Nasa'i, sahih At-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Dalam kisah ini terdapat pelbagai tanda tanya. Mengapa Urwah Bin Az-Zubair terkejut mendengar hadith ini sedangkan dia salah seorang ulama Madinah dan perawi hadith di Madinah. Bukankah dia juga adalah salah seorang daripada 7 orang yang faqih (ahli fiqah) di Madinah?. Bukankah dia juga anak kepada Sayyidina Abdullah Bin Zubair dan ibunya Saidatina Asma' Binti Abu Bakar dan makciknya ialah Saidatina 'Aisyah?. Mengapa hadith ini hanya diriwayatkan oleh Busrah seorang sahaja dan pada masa yang sama tiada sahabat lain yang meriwayatkannya?. Mengapa hadith ini diriwayatkan oleh seorang perempuan sahaja sedangkan perkara ini menyentuh hal lelaki? Mengapa tiada sahabat lelaki yang meriwayatkannya?
Oleh sebab itulah hadith ini tidak diriwayatkan oleh Bukhori dan Muslim.
3-Jika memegang kemaluan depan itu membatalkan wuduk pastilah perkara ini telah diterangkan oleh Rasulullah kepada umum dan pastilah ramai sahabat yang akan meriwayatkannya.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata: Berdasarkan hadith ini bahawa perintah wuduk kerana memegang kemaluan depan itu adalah anjuran (sangat digalakkan) dan bukannya wajib
Kesimpulannya, Syeikh Yusuf berkata: Memegang kemaluan depan bagi lelaki tidak membatalkan wuduk walau dalam keadaan apa sekalipun. Jika dia memegang dengan syahwat, maka sangat dianjurkan untuk berwuduk.
Berbahagialah sesiapa yang ingin memegang pandangan yang memudahkan ini. Jika ingin memegang pandangan yang mengatakan batal, saya hormati pandangan anda.
No comments:
Post a Comment