Tuesday, March 12, 2013

Sucikah air najis yang disuling?


Air kumbahan yang disuling sehingga menjadi air bersih dan tidak lagi mempunyai warna, bau dan rasa dan telah berubah daripada bentuknya yang asal kepada bentuk yang lain yang berbeza sama sekali dengan bentuknya yang pertama dari segi nama, kriteria dan sifatnya. Dengan itu, air tersebut menjadi suci dan menyucikan, halal diminum, mengambil wuduk dan mengambil manfaat daripadanya dalam apa bentuk sekalipun. Menurut syarak, air ini bersih dan suci kerana mengalami proses perubahan zat atau al-istihalah.

Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fikih Taharah (hlm 65-66) berpendapat air yang disuling adalah suci dan boleh digunakan untuk wuduk dan mandi. Sebab-sebabnya ialah:

1-Air diciptakan Allah untuk kemaslahatan manusia dan ia adalah suci lagi menyucikan. Ianya tidak najis kecuali apabila berubah warna, bau dan rasa. Apabila warna, bau dan rasa telah hilang maka ia kembali kepada hukum asal iaitu suci lagi menyucikan kerana air itu najis kerana ada najis di dalamnya. Apabila sebab (najis) hilang, maka air kembali baik dan suci.

Selaras dengan hadith Nabi,"Sesungguhnya air itu tidak dapat dinajiskan oleh sesuatu kecuali yang berubah bau, rasa dan warnanya."
(Hadith riwayat Ibnu Majah)

2-Allah membenarkan kita menggunakan benda-benda yang baik, sama ada makanan dan minuman. Benda yang kita makan dan minum, apabila masuk ke dalam perut, ianya menjadi najis seperti darah, air kencing dan tahi. Jika dijumpai alat yang berjaya mengembalikan kepada bentuk asal yang baik dan hilang unsur najisnya, maka ia kembali baik dan suci.

3-Ulama sepakat, arak jika berubah menjadi cuka, dengan sendirinya ia menjadi suci. Cuma mereka berbeza pendapat di dalam perkara lain. Contohnya, anjing yang berubah kepada garam kerana mati di tempat penggaraman, bangkai menjadi tanah. najis binatang menjadi debu dan sebagainya, adakah dianggap suci atau tidak?. Berdasarkan pendapat yang sahih, ia adalah suci kerana sifat dan bentuknya telah berubah. Kotoran yang menjadi punca kenajisannya telah hilang. Hukum sesuatu perkara itu wujud bersama illahnya (sebab). Jika tiada illah, maka tiada hukum.

4-Salah satu cara penyulingan yang disebutkan ulama fiqh ialah dengan memperbanyakkan kuantiti air, sehingga air itu mengalahkan najis dan tidak lagi mempunyai warna, bau dan rasa. Dalam proses penyulingan, teknik yang digunakan jauh lebih baik daripada hanya memperbanyakkan kuantiti air. Selain itu, bahan-bahan kimia juga dimasukkan bagi memendapkan benda najis ke bawah dan berpisah daripada air. Seterusnya air disaring sehingga bersih lalu kembali kepada hukum asal iaitu suci lagi menyucikan.

5-Air telaga yang jatuh najis di dalamnya, dikira sebagai suci apabila dihilangkan najis di dalamnya sehingga tiada lagi warna, bau dan rasa. Syeikhul islam Ibnu Taimiyyah berpendapat, "Apabila kotoran telah hilang dalam apa bentuk sekalipun dan dengan apa cara sekalipun, berlakulah kesucian pada benda yang terkena kotoran itu."
(Ibnu taimiyyah, Majmu' fatawa)

Majlis Akademi Fiqh yang berlangsung di Makkatul Mukarramah dari 13-20 Rejab 1409H bersamaan 19-26/Febuari 1989 mengeluarkan resolusi berikut:

"Air kumbahan yang disuling dengan cara-cara yang disebutkan dia atas atau yang seumpama dengannya dan tidak ada sebarang kesan najis dari segi warna, bau dan rasa, menjadi suci dan harus mengangkat hadas dan menghilangkan najis berasaskan kaedah fiqh yang diakui iaitu air yang banyak yang jatuh najis ke dalamnya, maka suci apabila hilang kesan najis."

Jika seseorang itu merasa jijik untuk menggunakan air tersebut sama ada untuk memasak, minuman, mengambil wuduk dan mandi junub, itu hanyalah masalah peribadi. Untuk amalan umum, air tersebut suci dan menyucikan.

(Sumber: Isu-isu Fiqh Halal dan Haram Semasa, Dr basri Bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari)

No comments: