Jika ditanya mengapa tidak menutup aurat? Maka dijawab,
"Kalau Allah sudah takdirkan aku menutup aurat, pasti sudah lama aku menutup aurat."
Jika ditanya mengapa melakukan maksiat? Maka dijawab,
"ini semuanya takdir Allah."
Benarkah dakwaan ini. Bolehkan kita menyandarkan maksiat, kekufuran kepada Allah dengan alasan ianya takdir?. Tanpa sedar bahawa mereka yang menggunakan 'tiket' takdir telah menghalalkan perkara yang haram.
Ada juga yang beranggapan, sekiranya Allah mentakdirkan seseorang itu sembuh daripada penyakitnya, sudah pasti ianya akan sembuh walaupun tanpa berubat. Ini semuanya salah faham dan mendorong manusia menyalahkan Allah dalam semua perkara.
QADAR ALLAH vs QADAR ALLAH
Sesetengah orang beranggapan takdir Allah tidak boleh dihadapi, dilawan dan ditolak. Kenyataan ini mungkin benar daripada satu sudut dan tidak benar daripada sudut yang lain.
Syeikh Abdul Qadir al-Jailani menentang keras orang yang berfahaman sebegini,
"Ramai orang apabila sampai kepada qadak dan qadar Allah berhenti setakat itu sahaja, kecuali saya. Pada pendapat saya, masih terdapat jendela yang terbuka kerana itu takdir Allah itu akan saya lawan dengan rela dan benar demi untuk Allah juga. Seorang lelaki sejati itu ialah seorang yang sanggup melawan takdir dan bukannya hanya menyerah bulat-bulat kepada takdir."
(al-Ubudiyya oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah)
Mengulas kenyataan ini, Ibnu taimiyyah menyatakan,
"Apa yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Qadir Jailani di atas sesuai dengan perintah Allah dan RasulNya. Ramai orang yang menyalahertikan persoalan ini. Kadang-kadang mereka tahu apa yang ditakdirkan kepada seseorang seperti maksiat, dosa dan kekufuran. mereka juga tahu yang ia berjalan menurut kehendak Allah tetapi malangnya mereka hanya berserah kepada perkara tersebut dengan setuju, rela atas nama agama, tarikat dan ibadat."
PERBETULKAN. Sebenarnya apa yang Allah takdirkan seperti sakit, lapar, dahaga, gagal, berjaya semuanya boleh berubah apabila kita berusaha memilih takdir yang lain.
Contohnya apabila Allah mentakdirkan seseorang itu sembuh, Dia juga mentakdirkan orang tersebut mengambil ubat-ubatan yang menyebabkan dia sembuh. Jadi dengan kata lain dia telah memilih daripada takdir yang sakit kepada takdir yang lebih baik (sembuh).
Para sahabat bernah bertanya kepada Rasulullah,
"wahai Rasulullah, apa pandangan tuan tentang ubat-ubatan yang kita gunakan untuk menjampi, adakah ia dapat menolak qadar Allah?." Sabda Baginda, "Ia sendiri daripada qadar Allah."
(Hadith riwayat Tirmizi)
Melalui hadith ini, kita dapat fahami bahawa para sahabat beranggapan berubat itu bertentangan dengan qadar (takdir) Allah. Rasulullah kemudiannya perbetulkan salah faham itu bahawa berubat juga sebahagian daripada takdir Allah. Maksudnya kita diberi pilihan untuk beralih daripada takdir yang kurang baik ke arah lebih baik.
Mengambil sebab-sebab (asbab) dan berusaha termasuklah berubat, bukan sahaja tidak bertentangan dengan takdir Allah, bahkan juga tidak bertentangan dengan konsep tawakkal iaitu mereka menggunakan asbab tetapi tidak pernah meyakini bahawa asbab itu yang membuatkan mereka berjaya, sebaliknya semuanya datang daripada Allah.
Begitu juga dengan seorang islam, Allah mentakdirkan menjadi muslim tetapi dia telah murtad dan memilih kekufuran, maka dia telah beralih daripada takdir muslim kepada takdir kufur kerana pilihannya.
Perbuatan berhujah dengan takdir Allah bagi menghalalkan perbuatan dosa dan maksiat hukumnya haram. Sekiranya manusia melakukan maksiat, kezaliman, kefasikan dan lain-lain dengan alasan ianya takdir Allah, maka rosaklah kehidupan manusia.
Berhujah dengan takdir Allah hanya dibenarkan dalam perkara yang bukan menjadi pilihan manusia. Contohnya seorang lelaki yang ditimpa dinding dan dia sendiri tidak menyangka dinding itu akan tumbang atau seseorang disengat ular dan dia tidak sedar kewujudan ular tersebut atau seseorang ditimpa kemalangan sedangkan dia sudah berhati-hati. Jika perkara sebegini berlaku, maka bolehlah kita berkata semuanya takdir Allah dan yang terlibat perlu bersabar dan reda.
KESIMPULANNYA
Ibnu Qayyim menjelaskan, orang yang paling fakih ialah orang yang menolak, membendung dan melawan takdir Allah dengan takdir Allah. Bahkan menurut beliau lagi, tidak mungkin manusia dapat hidup selesa di dunia kecuali dengan cara melawan takdir Allah dengan takdir Allah juga. Lapar, dahaga, sejuk, arasa takut, bahaya dan lain-lain termasuk dalam qadar Allah. Manusia perlu berusaha untuk memilih qadar yang lebih baik. Wallahua'lam
(Isu-isu Fiqh Halal dan Haram Semasa. Hlm 164-172)
No comments:
Post a Comment